Terubat Sekuntum Rindu

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur dirafa’kan ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya, Himpunan Intelektual Imtiaz Kuala Berang (HIM) dapat mengadakan program buat julung kalinya Kem Menuju Puncak 2008 bertempat di SM Imtiaz Kuala Berang. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki kembali ke sekolah ini selaku fasilitator yang membimbing adik-adik.


Tanpa disedari, sudah empat tahun saya meninggalkan zaman persekolahan. Namun, masih terasa baru melepasi alam tersebut. Sepanjang berada di SM Imtiaz Kuala Berang (a.k.a. Kolej Islam Sains Terengganu, KIST) selama 5 hari bagi menjayakan program tersebut saya sedikitpun tidak terasa asing. Memori bersama rakan-rakan di sekolah masih segar dalam ingatan.


Program ini secara peribadinya mengubat perasaan rindu yang ada dalam diri saya. Kerinduan kepada suasana. Biah solehah… suasana yang baik yang terbina di sekolah ini. Malah perubahan yang lebih baik tampak jelas dalam suasana di sekolah sekarang berbanding ketika saya masih di sini sebagai seorang pelajar. Para pelajar banin (Muslimin) kini lebih selesa berjubah, para pelajar banat (Muslimat) kesemuanya bertudung labuh dengan Al-Quran sentiasa di tangan, mulut, telinga dan hati mereka. Akhlaq yang mereka tonjolkan menjadi Qurratu 'ain (penyejuk mata) bagi diri saya yang sudah lama berada di luar alam persekolahan yang mana tecemar biahnya.


Besar harapan saya agar generasi-generasi ini menjadi sinar baru yang akan mewarisi kehebatan ummat Islam di zaman silam. Semoga Allah merahmati antum.

Kepada sahabat-sahabat yang bersama-sama menjadi fasilitator yang bertungkus-lumus menjayakan program ini, jazakumullah khairan jaza. Moga terus istiqamah dalam perjuangan kita untuk berbakti kepada masyarakat di atas dasar Islam.

Terima kasih kepada para guru, kaunselor, kakitangan sekolah, Integriti Ikon Sdn Bhd (Yayasan Terengganu), para pelajar dan semua pihak yang menghulurkan sumbang bakti dalam menjayakan program Kem Menuju Puncak 2008. Semoga diberkati Allah selalu.

Ya Allah kurniakanlah kepada adik-adikku ini kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM yang bakal mereka tempuhi.

Ya Allah teguhkanlah iman kami, tetapkanlah hati-hati kami dalam nur imanMu. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim… kurniakanlah kami kejayaan di dunia dan di akhirat. Moga-moga kami dapat bertemu di dalam syurgaMu dalam sebaik-baik keadaan.

Ameen.


MOHD IZZUDDIN BIN ISMAIL

Presiden,

Himpunan Intelektual Imtiaz Kuala Berang (HIM)

Leave a Reply

Keluarga HIM