Kem Menuju Puncak (KMP) 5


                                                                           
30 Ogos, Kuala Berang - Kem Menuju Puncak (KMP) merupakan program tahunan Himpunan Intelektual IMTIAZ Kuala Berang (HIM). Pada penganjuran kem kali ini, pihak alumni telah menjalinkan kerjasama dengan Majlis Alumni Ulul-Albab IMTIAZ YT TERENGGANU (MAIT) dalam menjayakannya buat kali ke-5 berturut-turut. Perkarangan sekolah tercinta sekali lagi menjadi lokasi pilihan atas faktor memudahkan perjalanan dan kelancaran program.

Peserta yang terpilih pula terdiri daripada semua pelajar tingkatan 2 dan selebihnya adalah pelajar tingkatan 1 bagi melengkapkan jummlah peserta seramai 70 orang manakala hampir 20 orang tenaga fasilitator terdiri daripada bekas pelajar diperlukan bagi menjalankan program ini. Kem yang diadakan selama 3 hari 2 malam bermula 30 Ogos sehingga 1 September ini membawa tema “Sahsiah utuh, Individu kukuh” yang menfokuskan kepada peningkatan nilai, sahsiah dan akhlak pelajar dalam pembentukan modal insan yang cemerlang pada masa hadapan.

Kem Menuju Puncak, Satu Permulaan


Pada hari pertama program, sejurus selepas proses pendaftaran selesai semua peserta memulakan program dengan sesi taaruf bersama fasilitator dan bermain beberapa permainan menerusi sesi ice-breaking. Hasil daripada sesi ice-breaking' tersebut, peserta dibahagiakn kepada tujuh kumpulan kecil dan dibantu oleh dua orang fasilitator bagi setiap kumpulan. Sesi dalam kumpulan kecil diteruskan dengan taaruf bersama ahli kumpulan.

Malamnya pula para peserta diserikan dengan kehadiran beberapa orang bekas pelajar SM Imtiaz YT Kuala Berang yang sedang melanjutkan pengajian di Timur Tengah iaitu Mesir dan Jordan dalam bidang perubatan dan pengajian Islam. Slot "Sharing Moments" yang berbentuk forum dan soal jawab ini menyentuh tentang perkongsian pengalaman susah senang hidup berdikari di luar negara selain memperkenalkan sistem pembelajaran di sana. Selain itu, antara objktif yang terpenting juga ialah untuk membakar semangat peserta supaya belajar bersungguh-sungguh dan memperbaiki sahsiah diri supaya dapat menjadi salah seorang pelajar cemerlang serta mengharumkan nama Imtiaz. Slot berakhir dengan tayangan video khas suasana pembelajaran di Timur Tengah oleh ahli panel.

Hari Kedua, Terus Bersemangat !

Hari kedua program dimulakan dengan aktiviti qiamullail dan diteruskan dengan solat Subuh secara berjemaah. Kemudian, para peserta meneruskan aktitivti riadah pagi bertujuan menerapkan kesedaran akan peri pentingnya penjagaan kesihatan badan dan jasmani sebagai seorang pelajar.

Slot pagi Jumaat dimulakan pada jam 8.00 pagi. Slot ini dikenali sebagai “Pawagam Imtiaz”, peserta ditayangkan dengan beberapa video berkaitan keadaan umat Islam terkini. Kemudian, peserta berkumpul dalam kumpulan masing-masing bagi membincangkan dengan lebih terperinci isu semasa yang ditonjolkan melalui video-video tersebut dengan bantuan fasilitator.


Selepas minum pagi, kem diteruskan dengan slot latihan dalam kumpulan (LDK) yang dikenali sebagai “Semanis Madu, Sepahit Hempedu”. Slot ini bertujuan menanam dalam diri para peserta rasa benci daripada melakukan maksiat di samping menyedarkan para peserta tentang masalah-masalah sosial dalam kalangan remaja zaman kini. Kefahaman peserta diuji apabila mereka diberikan beberapa situasi masalah sosial untuk dibincangkan dalam kumpulan seterusnya membentangkan hasil diskusi mereka di hadapan semua peserta dan fasilitator.

Kem direhatkan seketika bagi memberi ruang kepada solat Jumaat dan solat fardhu Zohor. Peserta berkumpul semula di dewan terbuka sekolah bagi meneruskan ldk kedua iaitu “Irkam Ma'ana”. Dalam slot ini, peserta diminta untuk membina satu binaan masjid daripada bahan-bahan seperti kertas A4, straw dan pita selofan secara berkumpulan. Manakala para fasilitator ditugaskan untuk mengganggu usaha pembinaan masjid sebagai simbolik gangguan anasir jahat selain menguji kerjasama ahli kumpulan dalam mempertahankan binaan masjid masing-masing.

Aktivit lasak dan menguji kekuatan fizikal juga diterapkan melalui aktiviti Explorace. Permainan-permainan yang mencabar ditempatkan di beberapa checkpoint dan setiap kumpulan perlu menyelesaikan kesemua permainan tersebut untuk memenangi acara Explorace ini. Tiga kumpulan telah dipiliih dan dinobatkan sebagai kumpulan terbaik dalam permainan ini.

Malam terakhir pula, slot ketiga diteruskan. Slot yang dipanggil sebagai “Debat Ilmiah” ini menguji keupayaan peserta memerah idea dalam masa yang singkat dan menegakkan hujah masing-masing untuk memenangi perdebatan. Peserta banin diberikan tajuk Kebaikan Laman Sosial manakala peserta banat mempertahankan tajuk Keburukan Laman Sosial. Kebolehan peserta mengutarakan hujah yang bernas dan matang telah mendapat pujian daripada fasilitator.

Setiap Yang Bermula, Pasti Ada Pengakhirannya.

Pada hari terakhir kem, para peserta masih bersemangat untuk meneruskan program. Usai latihan menyanyikan lagu tema kem bertajuk "Stand Up" nyanyian asal Muadz untuk persediaan sewaktu majlis perasmian penutup, slot 4 yang dikenali sebagai “Wahai Syabab Muslim, Di Mana Anda ?” dimulakan. Peserta diterangkan tentang kewajipan dan tugas remaja masa kini melalui  penekanan kepada aspek kefahaman ilmu, beramal dengan ilmu, menyebarkan ilmu dan bermasyarakat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

LDK terakhir yang diberi nama “Wahai Dunia, Tunggulah Aku !” dijalankan. Beberapa siri video mengisahkan tentang Sultan Muhamad Al-Fateh ditayangkan bagi menggambarkan kehebatan dan kesungguhan beliau dalam membebaskan Kota Konstantinopole yang sekarang ini dikenali sebagai Istanbul. Kemudian, para peserta dibantu oleh fasilitator bermain beberapa permainan simbolik bahawa peserta bersedia untuk berubah diri dan menjadikan Sultan Muhamad Al-Fateh sebagai contoh teladan. Sebelum berakhir slot ini, dua peserta terbaik kem diumumkan, seorang peserta banin dan seorang peserta banat. Anugerah yang dikenali sebagai Al-Fateh Imtiaz ini disandang oleh adik Muhammad Aqil Mirza bin Rosli dan Nur Aina Najiehah binti Tarmizi.

Kem Menuju Puncak kali ke-5 melabuhkan tirai dengan berlangsungnya majlis perasmian penutup. Puan Rusiati Binti Ngah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid hadir bagi mewakili Tuan Pengetua SM imtiaz YT Kuala Berang, Encik Mohd Yusoff Bin Othman yang tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Puan Rusiati telah menyatakan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan kem kali ini dalam ucapan perasmian penutup beliau.

Sebelum semua peserta dan fasilitator bersurai, sesi fotografi diadakan sebagai simbol kenangan dan kegembiraan semua pihak yang telah berjaya menamatkan kem ini.

Pihak alumni merakamkan jutaan  terima kasih kepada pihak Sekolah Mengenah Imtiaz YT Kuala Berang, Majlis Alumni Ulul-Albab Imtiaz YT Terengganu, para fasilitator, adik-adik peserta dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam merealisasikan program tahunan HIM ini. Semoga Allah SWT membalas jasa, budi dan bakti kalian semua, insya-Allah.

Yang benar,

Amirul Zuhri bin Zulkipli,
Pengarah,
Kem Menuju Puncak kali ke-5,
SM Imtiaz YT Kuala Berang.

Leave a Reply

Keluarga HIM