Wasathiyyah Dalam Pendidikan – Nota Kecil


Konsep Wasathiyyah amat penting untuk terus disemak dan diberikan perhatian dari semasa ke semasa.

Ia bertindak sebagai alat check and balance antara kecenderungan masyarakat sama ada berlebih-lebihan atau bermudah-mudah di dalam semua lapangan kehidupan mereka. Ziadah dan Nuqsan, adalah adik beradik. Ziadah ertinya menokok tambah. Nuqsan pula erti mengurangkan dos daripada preskripsi asal Islam. Ada kalanya ia juga disebut sebagai ifrat dan tafrit.

“Dan dengan demikian itu Kami jadikan kamu Ummah yang Wasathiyyah…” [Al-Baqarah 2: 143]

Akhirnya Wasathiyyah mesti difahami bukan sebagai jalan tengah. Memahaminya sebagai jalan tengah akan mengundang pendirian relatif yakni semuanya betul belaka, termasuk yang nyata salah dan terkeluar daripada wajah yang diterima Islam.

Wasathiyyah mesti difahami sebagai metod yang mencari ketepatan, lalu menghasilkan keseimbangan. Seimbang antara dua yang layak dan lulus ditimbang.

ISU-ISU PENDIDIKAN

Ketiadaan Wasathiyyah dalam pendidikan menatijahkan penekanan-penekanan yang berlebihan atau keterlaluan dalam satu-satu sudut yang hanya merupakan sebahagian daripada keseluruhan.

Berlebih-lebihan menekankan akademik hingga membelakangkan agama.
Berlebih-lebihan menekankan agama hingga membelakangkan akademik.

Atau dalam bahasa yang lebih menampakkan konflik:

Berlebih-lebihan menekankan Sunnatullah hingga membelakangkan Syariatullah.
Berlebih-lebihan menekankan Syariatullah hingga membelakangkan Sunnatullah.

Akibatnya, lahirlah SEKULARISMA.

Sama ada sekular kerana menerima Sains dan membelakangkan Agama, atau sekular pada menerima Agama dan membelakangkan Sains.

Kedua-duanya menatijahkan kelompok yang hidup dalam satu masyarakat, tetapi bergeser dalam menetapkan keutamaan, berkonflik pada memikirkan penyelesaian, serta berkrisis pada melaksanakan tindakan.

Orang-orang akademik, orang Sains, orang sekolah orang putih, orang bukan orang agama menyelesaikan cabaran-cabaran kehidupan daripada sisi bidang mereka sahaja, manakala agama sama ada ditolak terus, atau terbatas hanya pada ibadah-ibadah khusus, hingga agama tidak dapat dilihat fungsinya secara praktikal pada memperbaiki sistem, pengurusan, dan hal-hal pejabat yang bersifat ‘Duniawi’.

Manakala orang-orang agama, ustaz-ustaz, lebai-lebai, tok-tok guru pula, menyelesaikan cabaran-cabaran kehidupan daripada sisi bidang mereka sahaja, manakala aspek aqli hanya terbatas pada hal-hal duniawi hingga agama tidak kisah dibiarkan berkembang tidak sejajar antara naqal dan aqal. Lalu lahirlah slogan-slogan agama secara retorik yang kosong daripada upaya praktikal, tatkala Syariat dipisahkan daripada ilmu-ilmu alat yang hakikatnya sebahagian daripada Sunnatullah.

SOLUSI SEMASA

Masalah yang timbul daripada fenomena ini telah disedari oleh ramai lapisan masyarakat.

Usaha untuk mencantumkan kembali bidang-bidang yang didikotomikan oleh nilai sekular cuba dilakukan. Ia suatu kesedaran yang sudah cukup berharga.

Namun usaha itu amat sukar untuk menyentuh dasar masalah, jika ia hanya bersifat permukaan. Menghafal 30 juzuk al-Quran dan kemudian belajar Kejuruteraan, apa yang terhasil mungkin seorang jurutera al-hafiz yang masih sekular. Seorang yang belum mampu mendamaikan antara falsafah al-Quran dan falsafah Kejuruteraannya. Seorang yang mungkin empirikal dalam kejuruteraannya tetapi taqlid dalam al-Qurannya. Dan masalah-masalah itu boleh terus disenaraikan.

Masalah juga tidak selesai dengan seseorang menjadi ustaz, kemudian belajar di negeri Inggeris. Apa yang terhasil adalah seorang ustaz yang fasih berbahasa Inggeris tetapi mungkin masih sekular apabila maqasid syariah yang dipelajarinya masih tidak dapat ditemu atau diharmonikan dengan prinsip-prinsip sains sosial yang membentuk tamadun Inggeris.

Di sinilah pentingnya Wasathiyyah Dalam Pendidikan.

Ia bukan sekadar mencatumkan luaran, tetapi mencantumkan intipati ilmu. Melanggari peraturan-peraturan Syariatullah merupakan kedurhakaan kepada Allah dan mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan Duniawi dan Ukhrawi. Melanggari peraturan-peraturan Sunnatullah juga merupakan kedurhakaan kepada Allah dan mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan Duniawi dan Ukhrawi.

Sunnatullah perlu di’Rabbani’kan.

Syariatullah perlu di’Manusiawi’kan.

Malah ketepatan dan keseimbangan yang dicari bukan sahaja antara Syariatullah dan Sunnatullah, tetapi juga pada tanggungjawab membangunkan:

  • Fizikal
  • Intelektual
  • Emosional
  • Spiritual
Bukan hanya menekankan aspek intelektual hingga menjadi KIASU, exam oriented, berpelajaran tidak berpendidikan.

Perjalanannya masih panjang.

Nota kecil ini hanya melontarkan buah fikiran, sebagai langkah permulaan.

Sesuatu yang sepatutnya saya bentangkan di Konvensyen Fiqh Ummah di PWTC pada 18 dan 19 Februari 2012.

Semoga bermanfaat buat renungan kita bersama.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

Leave a Reply

Keluarga HIM