139 Pelajar Terima Bantuan RM2.2j
KUALA TERENGGANU 7 Sept. - Seramai 139 pelajar negeri ini yang bakal menyambung pengajian ke luar negara menerima bantuan wang pendahuluan daripada Yayasan Terengganu (YT) bernilai RM2.2 juta.
Pengarahnya, Aziz Mamat berkata, bantuan tersebut merangkumi elaun sara diri, pakaian, penempatan dan peralatan tulis selama enam bulan pertama mereka berada di luar negara.
Katanya, ia diberikan kepada pelajar terbabit bagi meringankan beban mereka dan keluarga dalam memenuhi keperluan.
"Pada hari ini, seramai 139 pelajar yang melanjutkan pengajian ke lima buah negara iaitu Maghribi, Jordan, Rusia, Mesir dan United Kingdom (UK) menerima wang pendahuluan diri tersebut.
"Ia merupakan tajaan YT setiap tahun untuk para pelajar yang layak mendapat tawaran ke luar negara," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Wang Pendahuluan Diri Yayasan Terengganu di Kediaman Seri Iman di sini semalam.
Turut hadir dan menyampaikan bantuan pada majlis tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Pada majlis tersebut, pelajar-pelajar ke Mesir menerima sebanyak RM12,990, Jordan (RM6,000), Maghribi (RM3,000), Rusia (RM21,000) dan UK (RM32,000) setiap seorang.
Beliau berharap para pelajar tersebut yang bakal menyambung pengajian mereka pada September ini tidak mensia-siakan peluang dan bantuan yang diberikan serta kembali berbakti kepada bangsa dan negeri.
"Kesemua pelajar yang menerima bantuan ini telah dipilih oleh panel yang kita lantik bagi membolehkan wang penajaan ini diberikan kepada mereka yang layak sahaja," jelasnya.