Terengganu sekali lagi ungguli keputusan PMR


KUALA TERENGGANU 23 Dis. (Utusan Malaysia) – Terengganu sekali lagi mengungguli keputusan Penilaian Menengah Rendah apabila 1,746 calon atau 7.81 peratus memperoleh A dalam semua mata pelajaran pada tahun ini.

Jumlah tersebut meningkat sebanyak 0.69 peratus selain pencapaian minimum D juga meningkat sebanyak 3.85 peratus daripada 63.38 peratus pada 2009 kepada 67.24 peratus pada tahun ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Razali Daud berkata, keputusan PMR tahun ini mencatatkan pencapaian yang sangat memberangsangkan apabila Nilai Gred Purata Negeri (GPN) turut meningkat kepada 2.58 berbanding 2.60 tahun lalu dan ia mengatasi GPN Nasional iaitu 2.74.

Katanya, sebanyak 25 buah sekolah (19.4 peratus) daripada 129 buah mencapai nilai Gred Purata Sekolah (GPS) kurang daripada 1.80.

“Pada tahun ini sebanyak 14 daripada 129 buah sekolah (10.9 peratus) memperoleh keputusan 100 peratus berbanding tahun lalu iaitu 12 buah sekolah sahaja.

“Pada tahun ini Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Berang, Hulu Terengganu merupakan sekolah terbaik seluruh negeri dengan mencatatkan nilai GPS 1.03,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan PMR 2010 di sini, hari ini.

Sekolah lain di daerah ini yang mencatat keputusan 100 peratus calon lulus ialah SM Sains Sultan Mahmud; SM Imtiaz Kuala Terengganu; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Batu Rakit; Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abidin manakala dari daerah Kemaman pula Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam dan SMK Chukai.

Leave a Reply

Keluarga HIM