RM10,000 untuk SM Imtiaz YT K.Berang


KUALA BERANG - Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang untuk melaksanakan pelbagai program kecemerlangan khususnya pada peringkat sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sumbangan Kerajaan Negeri itu sebagai salah satu tanda penghargaan kepada sekolah tersebut atas kejayaan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010.

“Sebagaimana sedia maklum, sekolah ini muncul sekolah paling cemerlang di negeri ini apabila mencatatkan Gred Purata Sekolah tertinggi dengan nilai 1.03 dan ia sememangnya satu pencapaian membanggakan selain dapat mengharumkan nama daerah Hulu Terengganu serta Terengganu.

“Melalui peruntukan ini, diharapkan ia dapat memberi suntikan semangat kepada pihak sekolah dan pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya perlu diingat, mengekalkan kecemerlangan bukan suatu perkara mudah, tetapi ia bukan perkara mustahil untuk dicapai dan kerjasama serta sokongan semua pihak memainkan peranan penting bagi memastikannya menjadi kenyataan.

“Selain itu, pihak sekolah juga diharapkan dapat ‘membawa’ masuk komuniti untuk turut sama membantu mencapai kecemerlangan sebegini selain mesti ada ramuan atau formula tersendiri bagi menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sewaktu Majlis Kesyukuran PMR 2010 dan Pelancaran Projek Genggam Gemilang 2011 SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai YT, Aziz Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid; ADUN Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail dan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu, Shafrudin Ali Hussin.


*alhamdulillah :)

Leave a Reply

Keluarga HIM